Sunday, January 11, 2009

Istighfar dapat hilangkan perasaan...

FIRMAN Allah yang bermaksud: “Apabila sudah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan kamu melihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong, maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah keampunan kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha penerima Taubat.” – (Surah an-Nasr, ayat 1 hingga 3).


Surah an-Nasr yang pendek ini membawa berita gembira kepada Rasulullah mengenai ketibaan pertolongan daripada Allah dan kemenangan menakluki kota Makkah.

Peristiwa ini berlaku pada Ramadan tahun kelapan hijrah. Ketika itu, umat manusia berduyun-duyun memeluk agama Islam. Allah memerintahkan Baginda supaya tasbih, tahmid dan beristighfar apabila berita yang disampaikan menjadi kenyataan.

Kabilah Arab memang sedang menunggu kemenangan Rasulullah menakluki kota Makkah untuk memeluk agama Islam.

Mereka berkata: “Jika dia (Muhammad) dapat menundukkan kaumnya, maka itulah tanda dia seorang Nabi.” Oleh itu, sebaik Allah memberi kemenangan kepada Baginda menakluki kota Makkah, mereka pun memeluk Islam sekelompok demi sekelompok.

Dalam tempoh tidak sampai dua tahun selepas itu, seluruh penduduk Semenanjung Tanah Arab beriman kepada agama Allah.

Surah ini menjelaskan hakikat peristiwa yang berlaku di alam ini, peranan Rasulullah dan orang beriman dalam urusan dakwah serta batasan mereka dalam kegiatan berkenaan.

Sebenarnya pertolongan dan kemenangan datang daripada Allah saja, dan berlaku pada masa ditentukan serta dalam bentuk yang dikehendaki-Nya.

Bertasbih dan bertahmid di atas nikmat Allah yang menjadikan orang beriman sebagai pemegang amanah dan pembela agama. Begitu juga di atas rahmat-Nya mengurniakan kemenangan kepada rasul-Nya menakluk Kota Makkah dan sambutan besar-besaran orang ramai memeluk agama Islam yang penuh dengan kebenaran.

Beristighfar terhadap pelbagai perasaan dan pengalaman seperti bangga dan sombong yang berkecamuk dalam hati ketika menerima kemenangan selepas sekian lama berjuang.

Perasaan sedemikian memang sukar dikawal dalam diri manusia. Oleh itu, mereka perlu beristighfar.

Beristighfar juga terhadap perasaan tidak sabar dan terkilan kerana lambatnya Allah menunaikan janji memberi pertolongan. Begitu juga perasaan gentar yang mungkin dialami ketika menghadapi perjuangan yang lama, penat dan sukar.

Beristighfar pada saat mencapai kemenangan menyedarkan hati yang sedang dipengaruhi rasa megah dan berbangga dengan kemenangan agar menginsafi kelemahan serta kekurangan diri.

Beristighfar juga boleh menghilangkan perasaan angkuh dan sombong serta menjamin tidak berlaku sebarang bentuk kezaliman terhadap musuh yang tewas.

Orang yang dapat menundukkan keangkuhan diri adalah manusia yang matang. Jiwa mereka bebas daripada dibelenggu diri sendiri. Mereka tidak mencari sesuatu melainkan keredaan Allah. Mereka mengajak kepada kebaikan dan menegakkan kebenaran.

Mereka memimpin manusia dengan pimpinan yang matang dan bersih menuju bagi mencapai rahmat Allah. Inilah akhlak Rasulullah di sepanjang kehidupan baginda termasuk ketika mencapai kemenangan menakluki Kota Makkah.

Baginda memasuki tanah kelahiran Baginda itu sambil membongkok di atas unta, sedangkan penduduk di situ dulunya menentang dakwah Islam dan menyakiti kaum Muslimin hingga mendorong mereka berhijrah ke Madinah.

0 comments: