Thursday, September 18, 2008

KAEDAH RASULULLAH MEMBENTUK KELUARGA BAHAGIA

Dalam kehidupan di dunia ini, manusia memerlukan satu tatacara hidup yang dapat memberikan kesejahteraan, ketenangan, kebahagiaan dan keselamatan kepada mereka. Tatacara hidup yang dapat merangkumi seluruh aspek kehidupan mereka dari segi akhlak, politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Justeru itu, Islam telah diturunkan oleh Allah, sebagai suatu tatacara hidup yang lengkap.

Dalam satu tulisan, Dr. Abdul Karim Zaidan mendefinisikan Islam sebagai satu sistem yang menyeluruh dan lengkap merangkumi semua aspek kehidupan manusia (way of life) dan merupakan dasar kepada sistem akhlak yang mulia yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dari TuhanNYA untuk disampaikan kepada seluruh manusia.

1. PERKAHWINAN DAN PEMBENTUKAN RUMAHTANGGA.
Perkahwinan dan pembentukan rumahtangga pula merupakan satu titik permulaan dalam mewujudkan sebuah masyarakat mengikut lunas-lunas Islam. Kita bertanggungjawab dalam memastikan rumahtangga yang dibina adalah berdasarkan syariat Islam. Kita harus memastikan Islam disampaikan kepada isteri atau suami, anak-anak serta kaum kerabat yang terdekat dan inilah yang dipraktikkan oleh Rasulullah S.A.W. Allah berfirman:“Oleh itu janganlah kamu menyeru (menyembah) tuhan yang lain di samping Allah yang menyebabkan kamu termasuk golongan orang yang diazab dan berilah peringatan kepada kerabatmu yang terdekat dan rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang yang mengikutimu iaitu orang-orang yang beriman.” (Asy-Syu’raa: 213-215)

Oleh itu tugas yang dipertanggungjawab secara langsung ke atas seorang muslim setelah tanggungjawab terhadap diri sendiri ialah tanggungjawab terhadap keluarga, rumah dan anak-anaknya.
Sebelum membina rumahtangga, beberapa perkara perlu diambil perhatian oleh kita semua agar dapat mencapai matlamat yang diingini. Antaranya ialah perkahwinan yang ingin didirikan perlulah diniatkan kerana Allah dengan tujuan membina rumahtangga muslim. Agar dengannya akan lahirlah keturunan yang soleh yang sanggup memikul amanah Allah.
Selain daripada itu tujuan perkahwinan adalah untuk menjaga pandangan dan kehormatan diri baik bagi lelaki atau perempuan. Realiti hari ini, sebelum berumahtangga lagi, hubungan antara lelaki dan perempuan kadangkala melebihi daripada batasan syara’ yang sepatutnya. Berpegang-pegangan tangan, membonceng motosikal bersama-sama, berdua-duaan di tempat yang sunyi tanpa rasa segan silu dan perjumpaan tanpa ada mahram adalah aktiviti-aktiviti yang sepatutnya perlu dielakkan.

Barangkali, sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat menganggap ikatan pertunangan dapat menghalalkan perbuatan seperti itu. Dalam Islam, pertunangan sebenarnya bukanlah tiket untuk menjalin hubungan intim tanpa batasan kerana pergaulan tersebut masih lagi dalam lingkungan hubungan bukan mahram. Pergaulan ini hanya dibolehkan apabila seseorang itu telah melalui proses pernikahan yang sah sahaja. Firman Allah:“Janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu sangat keji dan jalan yang amat jahat.” (Al-Isra’:32)
Pemilihan bakal suami dan isteri juga adalah penting dalam proses membina rumahtangga muslim. Pilihlah bakal suami dan isteri yang mempunyai akhlak dan berpegang teguh pada agama sekalipun tiada harta atau kecantikan.

Sabda Rasulullah SAW:“Jangan kamu mengahwini perempuan kerana kecantikannya. Boleh jadi kecantikan mereka akan menjadikan mereka hina. Jangan kamu mengahwini perempuan kerana harta mereka, kerana boleh jadi harta mereka akan menjadikan mereka bersikap zalim, tetapi kahwinlah mereka kerana agamanya. Perempuan hamba yang rabik telinga dan bodoh tetapi beragama adalah lebih baik.” (Riwayat Ibn Majah)

Setelah berumahtangga pula, seseorang muslim tidak terlepas daripada tanggungjawabnya terhadap pasangan dan anak-anaknya. Kewajipan setiap pasangan adalah untuk memastikan mereka bergaul secara baik sesama sendiri. Pergaulan yang mesra akan menumbuhkan rasa kepercayaan di antara suami isteri. Rasulullah SAW sendiri telah buktikan perkara ini di dalam sabda baginda, “Orang yang paling baik di antara kamu ialah orang yang paling berlaku baik terhadap isterinya dan akulah orang yang paling berlaku baik terhadap isterinya dari kamu.” (Riwayat Tirmidhi)

Rasulullah SAW sendiri sering bermesra dengan Aishah seperti lumba lari serta menolong Aishah mengerjakan kerja-kerja rumah seperti menyusun kasut. Hubungan antara suami dan isteri pula tidaklah hanya terbatas dalam hubungan syahwat sahaja. Bahkan hubungan antara suami isteri dapat mewujudkan persefahaman dalam pemikiran, jiwa dan kasih sayang (mawaddah wa rahmah).

Namun, hubungan tersebut perlulah di dalam batas linkungan syarak, tidak menjatuhkan nama baik Islam atau perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah.
Pada hakikatnya, hasil yang diharapkan daripada terbinanya sebuah rumahtangga muslim ialah untuk mewujudkan suatu generasi yang soleh. Inilah yang difirmankan oleh Allah: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyayang hati (kami) dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.” (Al-Furqaan: 74)
Kejayaan di dalam perkahwinan dan membentuk suami isteri menurut sibghah (acuan) Islam banyak dapat menolong usaha-usaha mendidik anak-anak dengan tarbiyah Islamiyah yang diharapkan. Anak-anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Apabila tarbiyah yang baik diterima, mereka akan menjadi generasi yang soleh dan begitulah sebaliknya jika tarbiyah yang diterima adalah kurang sempurna. Maka mereka akan tenggelam dalam arus kelalaian dunia.

Benarlah sabda Rasulullah S.A.W:
“Anak-anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sejenak kita menoleh kepada realiti masyarakat yang ada pada hari ini, perkahwinan adalah salah satu langkah yang dapat membendung daripada menularnya kegiatan seks bebas, pergaulan antara lelaki dan perempuan yang tiada batasan, pelacuran, masalah anak luar nikah serta masalah-masalah sosial yang lain. Permasalahan sosial ini adalah rentetan daripada kegagalan manusia sendiri dalam mengawal hawa nafsunya agar tunduk kepada aturan syariat. Iman yang sepatutnya mengawal kehendak hawa nafsu dan bukan sebaliknya.

Firman Allah S.W.T:“Sesungguhnya nafsu amarah itu menyuruh kepada keburukan” (Yusuf: 53)

Islam telah datang dengan menjadikan perkahwinan yang sah sebagai jalan keluar dan saluran bagi manusia untuk menyalurkan kehendak nafsunya dan keinginannya untuk hidup berpasangan melalui jalan yang halal. Namun, ini hanya dapat direalisasikan jika perkahwinan yang dibina adalah berdasarkan niat atau tujuan yang murni, memahami konsep perkahwinan yang sebenar dan keluarga yang tunduk pada suruhan dan larangan Allah.

2. KEPENTINGAN KEBAHAGIAAN DALAM RUMAHTANGGA.
Kebahagian penting dalam menjamin keutuhan rumahtangga itu. Kebahagiaan adalah sesuatu yang abstrak yang lahir dari hati seseorang. Tanda kebahagiaan antaranya dapat dilihat apabila seseorang itu berasa senang, suka dan gembira melalui raut wajah dan tingkah lakunya. Nilai kebahagiaan itu tidak mungkin dapat diagihkan kepada orang lain. Hadith Rasulullah s.a.w. sangat tepat membayangkan betapa bahagia itu perlu dalam hidup setiap insan.

Diriwayatkan daripada An-Nu’man bin Basyir, Rasulullah s.a.w. bersabda:Maksudnya: “Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak, rosak pulalah seluruh badan, Ingatlah ia adalah hati".(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadith ini jelas menerangkan bahawa kebaikan diri manusia itu terletak pada hatinya. Kalau ia baik, maka seluruh diri manusia itu akan menjadi baik. Sekiranya ia rosak yakni mempunyai penyakit-penyakit hati, maka manusia itu tidak akan dapat mengecapi nikmat kebaikan dan kebahagiaan.

Semua orang perlukan kebahagiaan hidup sama ada untuk sementara atau selamanya. Penentuan kebahagiaan berkait rapat dengan sikap, kedudukan dan fahaman seseorang terhadap kebahagiaan. Ada orang beranggapan bahawa kebahagiaan itu boleh dicapai dengan adanya harta dan wang ringgit yang banyak. Ada pula beranggapan kebahagiaan itu ialah mengenepikan hal-hal keduniaan, kemajuan dan kemewahan. Walau bagaimanapun, kebahagiaan seperti ini adalah berkisar kepada faktor kebendaan semata-mata. Apakah kebahagiaan yang sebenar?

Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya: “Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan sebenar ialah kaya hati.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Maksud kaya hati seperti yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. itu ialah apabila hati menjadi tenteram, tenang dan merasa cukup terhadap nikmat yang dimiliki. Dari hadith ini nyatalah bahawa harta benda bukan ukuran kebahagiaan seseorang, tetapi kebahagiaan itu sebenarnya terletak di hati. Dalam hal ini, hati perlu dijaga dan beri haknya, supaya lahir sifat-sifat mulia dan terpuji seperti amanah, bersyukur, sangka baik terhadap orang lain dan sebagainya. Jelaslah bahawa dalam sesebuah rumahtangga kebahagiaan hati adalah sesuatu yang amat perlu.

Salah satu cara mendapatkan kebahagiaan hidup ialah dengan membetulkan niat dalam merancang sesuatu tindakan. Dalam hubungan ini seseorang itu hendaklah melatih hatinya supaya sentiasa berniat baik dan inginkan sesuatu yang baik. Latihan sebegini dapat menjadikan seseorang itu bersifat positif dan optimis dalam melakukan sesuatu. Wajahnya akan kelihatan sentiasa riang dan tenang.

Satu lagi proses mendapat kebahagiaan hati ialah dengan melakukan perbuatan yang baik atau disebut sebagai amal saleh. Amal ini mestilah disertakan dengan niat yang baik. Dalam melakukan amal saleh, umat Islam disuruh sentiasa melakukan kerja-kerja baik dan meninggalkan kerja-kerja yang tidak baik. Antara amal-amal saleh ialah tolong menolong, amanah, sopan santun, benci dan menjauhi maksiat, bercakap benar, penyayang dan lain-lain.

Kemuncak kebahagiaan dalam hidup seseorang ialah apabila ia telah berjaya melakukan kebaikan atau amal saleh serta menghindar segala bentuk larangan yang ditentukan oleh Islam. Ciri utama yang menjadi ukuran masyarakat bahagia ialah mereka patuh kepada suruhan Allah secara terus menerus dengan penuh khusyuk dan khudu’. Ini menepati maksud firman Allah dalam surah al-Mukminun ayat 1-11.
Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyu’ dalam sembahyangnya, dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); dan mereka yang menjaga kehormatannya, kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidaklah tercela, kemudian sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas; dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya, dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya, mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi; yang akan mewarisi syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya".
(al-Mukminun: 1-11)

3. PERANAN IBUBAPA.
Dalam konteks membina ‘syurga’ dalam rumahtangga, kesedaran terhadap peri pentingnya ilmu pengetahuan juga sangat mustahak. Ibubapa selaku ketua keluarga mempunyai peranan yang besar dalam mencorakkan anak-anaknya. Bermula di peringkat bayi, malah sejak dari dalam kandungan lagi, sehinggalah mereka remaja dan seterusnya dewasa, pendidikan perlu diberikan mengikut tahap dan peringkat masing-masing. Kemudahan-kemudahan pelajaran yang sedia ada seperti tadika, sekolah, maktab dan pusat pengajian tinggi seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya.

Ibubapa selaku pengemudi keluarga sewajibnya mempunyai perancangan dan usaha yang lebih bagi mempertingkatkan pengetahuan dan daya intelek di kalangan ahlinya. Di samping itu setiap ahli keluarga pula semestinya mempunyai kesedaran untuk mempertingkatkan pengetahuan dan daya pemikiran masing-masing sesuai dengan kemampuan yang ada tanpa rasa malas dan jemu. Pandangan berat Islam yang telah meletakkan pencarian ilmu itu sebagai satu kewajipan sepatutnya disedari oleh orang kerana maju atau membangunnya sesebuah keluarga itu adalah kerana ilmu pengetahuan.
Rasulullah s.a.w. menyebutkan melalui sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Maiah dari Anas:Maksudnya: Daripada Anas r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Menurut ilmu itu wajib ke atas tiap-tiap orang Islam.”(Riwayat Ibnu Majah)

Dari segi piawai ilmu bagi sesebuah keluarga, setiap ahli keluarga bermula dengan ibu dan bapa, mereka mestilah mengetahui ilmu-ilmu fardhu ain, iaitu berkait dengan akidah, syariah dan akhlak. Dari segi akidah, seseorang itu wajib mengetahui asas-asas kepercayaan mengenai ketuhanan, Allah Yang Maha Esa dan perkara-perkara di sekitar soal keimanan yang disimpulkan di dalam rukun iman. Dari segi ilmu syariah, mereka wajib mengetahui adab-adab serta peraturan-peraturan amal ibadat.

Manakala dalam bidang akhlak pula, mereka wajib mengetahui dan mengamalkan akhlak Islam sebagaimana yang digariskan di dalam al-Quran dan as-sunnah, seperti taat kepada ibu bapa, tolong menolong sesama ahli keluarga dan masyarakat, menghormati jiran tetangga dan lain-lain. Perkara-perkara ini merupakan asas yang wajib dipelajari dan dihayati oleh setiap anggota keluarga.

Di samping fardhu ain, setiap anggota keluarga juga perlu mempelajari fardhu kifayah iaitu ilmu-ilmu yang lebih bersifat kepentingan umum, yang ada kaitan langsung dengan keperluan hidup manusia seperti penyediaan bahan makanan dan barang-barang gunaan, bidang sains dan teknologi, kedoktoran, kejuruteraan, perindustrian, pembinaan tempat kediaman, penyediaan infrastruktur dan lain-lain. Pelaksanaan sebahagian daripada tuntutan agama juga terkandung sebagai fardhu kifayah, umpamanya pengurusan jenazah, sembahyang berjemaah di masjid dan lain-lain.

Ilmu-ilmu yang terkandung dalam bidang fardhu kifayah ini tidak diwajibkan kepada setiap individu tetapi memadai sekiranya ada sebilangan atau seorang sahaja di dalam kelompoknya yang mempelajari atau mengetahui ilmu tersebut. Apabila seorang sahaja mengetahuinya, pada masa itu gugurlah kefardhuannya ke atas orang lain, tetapi sekiranya tidak ada seorang pun yang mempelajari sesuatu ilmu itu, maka semua orang adalah berdosa.

Hal-hal seharian di dalam keluarga seperti percakapan, bahasa yang digunakan, tingkahlaku yang ditunjukkan dan pergaulan yang diwujudkan semestinya dalam piawai ilmu dan intelek yang tinggi yang dibentuk dalam suasana harmoni. Nilai-nilai intelek yang rendah seperti melebih-lebihkan perbicaraan tentang hiburan, cakap-cakap kosong, membanyakkan kegiatan yang tidak berfaedah dan lain-lain urusan yang membazir serta tidak bermanfaat hendaklah dihindarkan. Kesedaran hendaklah ditanamkan di dalam keluarga bahawa orang-orang yang berilmu serta berakhlak mulia tidak akan melakukan perkara-perkara seperti itu. Akal yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia menunjukkan bahawa manusia adalah makhluk yang mulia dan kurniaan itu mestilah dipelihara.

Setiap ahli keluarga mestilah menyedari bahawa orang-orang yang berilmu pengetahuan sememangnya tidak sama dengan orang-orang yang tidak berilmu pengetahuan. Orang-orang yang berilmu selain mendapat kemuliaan daripada Allah S.W.T. mereka adalah orang-orang yang menjadi harapan kepada sesuatu keluarga, kelompok masyarakat dan seterusnya negara. Merekalah menjadi pembimbing, pentadbir, pemimpin, pelindung dan tempat rujukan orang awam. Kalaulah sesuatu keluarga atau masyarakat atau bangsa itu tidak mempunyai orang-orang yang berilmu maka kedudukan mereka akan menjadi pincang dan tidak maju.

Jelaslah bahawa ilmu pengetahuan adalah satu perkara yang sangat penting dalam membentuk kehidupan yang bahagia dalam rumahtangga. Maka sebab itulah ia menjadi satu perintah yang wajib bagi setiap orang mencarinya. Saiyyidina Ali r.a. pernah berpesan:“Ketahuilah bahawa ilmu pengetahuan adalah lebih baik daripada harta benda, sebab ilmu pengetahuan dapat menjaga dirimu, sedangkan harta benda engkaulah yang harus menjaganya. Ilmu pengetahuan adalah pihak yang berkuasa, sedangkan harta benda adalah pihak yang dikuasai. Harta benda akan berkurangan jika dibelanjakan, sedangkan ilmu pengetahuan akan bertambah-tambah jika diberikan kepada orang lain.”

4. KAEDAH-KAEDAH DALAM MEMBENTUK KELUARGA BAHAGIA.
Beberapa perkara lain yang boleh membantu kita membentuk keluarga bahagia ialah melalui sembahyang berjemaah dalam keluarga, membaca al-quran bersama, membaca buku agama beramai-ramai, makan bersama sekeluarga, memberi salam semasa masuk atau meninggalkan rumah, minta keizinan masuk bilik, mengekalkan kedamaian dan kerukunan rumahtangga, mengukuh dan menjaga ekonomi rumahtangga, mewujudkan keselesaan dan keindahan dalam rumahtangga, berkomunikasi secara baik, mewujudkan pergaulan suami isteri yang baik, mewujudkan hubungan baik ibu bapa dengan anak, mewujudkan hubungan baik anak dengan ibu bapa dan memupuk kasih sayang dan toleransi dalam keluarga.



5. PENTINGNYA DIDIKAN KEPADA ANAK-ANAK.
Peranan ibubapa dalam membentuk keluarga amat penting. Didikan kepada anak-anak perlulah sentiasa dititikberatkan. Ada beberapa faktor yang menjadi penyebab mengapa anak-anak kita bersifat degil atau lebih dahsyat lagi derhaka. Faktor-faktor ini adalah akibat kegagalan ibu bapa menunaikan amanah Allah SWT dalam membentuk keperibadian anak.

Faktor pertama ialah balasan. Sebenarnya risiko yang kita terima sekarang ini adalah balasan kepada sikap dan sifat kita terhadap ibu bapa kita semasa kita kecil dahulu. Sudah tentu ibu bapa kita semasa kecilnya juga bersifat seperti kita (degil/derhaka). Kesalahan ini kait mengait antara kita dan ibu bapa kita sebagai balasan Allah SWT. Ini ditambah dengan keingkaran anak menurut kata, juga kesalahan ibu bapa tidak melaksanakan tanggung jawab (amanah Allah SWT) mendidik anak mengikut kehendak Allah SWT.

Jadi kesalahan anak ialah kerana gagal berbuat baik kepada ibu bapa, manakala ibu bapa pula gagal membentuk mereka menjadi anak yang mengikut kebaikan. Anak-anak sepatutnya berbuat baik kepada ibu bapa seperti mana ibu bapa berbuat baik kepada mereka, mudah-mudahan anak-anak mereka (cucu-cicit ) nanti berbuat baik kepada mereka sebagai balasan kepada perbuatan baik mereka.

Kalau sebaliknya maka sebaliknyalah pula yang bakal kita terima. Ini jelas disebutkan dalam sebuah hadis Nabi SAW yang bermaksud : "Berbuat baiklah kamu kepada kedua ibu bapa kamu, nescaya anak-anak kamu akan berbuat baik kepada kamu". Berbuat baik di sini meliputi segala aspek kehidupan dan juga tuntutan agama Islam itu sendiri. Ini bermakna tidak timbul anak derhaka akibat (balasan) dari ibu bapa yang derhaka kepada ibu bapa mereka dahulu, seandainya masing-masing mahu berbuat baik .

Faktor kedua ialah kecuaian atau kegagalan mendidik. Anak kita menjadi degil atau derhaka adalah disebabkan oleh kecuaian atau kegagalan kita sebagai ibu bapa mendidik mereka mengikut lunas-lunas yang disarankan oleh agama.
Rasulullah SAW pernah bersabda yang Bermaksud : "Suruhlah anak-anak kamu mendirikan solat (sembahyang) ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (jika enggan) ketika mereka berumur sepuluh tahun dan pisahkanlah tempat tidur mereka (dari ibu bapa dan juga dari adik beradik mereka yang berlainan jenis/jantina)”. Rasulullah SAW menegaskan betapa peri pentingnya ibadat solat didirikan, sehingga Baginda menyuruh kita mengarahkan anak-anak kita melakukan solat itu semasa mereka baru berumur tujuh tahun. Suruhan itu begitu tegas sekali apabila Baginda menyuruh kita menggunakan rotan tatkala anak yang berumur sepuluh tahun enggan mendirikannya.

Seterusnya ialah solat. Kenapa solat atau sembahyang pula dikaitkan dengan agenda mentarbiah generasi berilmu dan berakhlak ke arah kecemerlangan dunia dan akhirat? Sebagai menjawab pertanyaan ini, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud : "Solat/sembahyang itu tiang agama, sesiapa yang mendirikannya sesungguhnya ia telah mendirikan agamanya, sesiapa yang meninggalkannya sesungguhnya ia meruntuhkan agama".
Allah SWT telah berfirman di dalam Surah Al-'Ankabuut ayat : 45 yang bermaksud :
"Bahawa sesungguhnya sembahyang itu (boleh) mencegah (orang yang mendirikannya)
dari (melakukan) perkara yang keji dan mungkar (jahat)".

Kedua-dua NAS yang tersebut sudah cukup untuk membuktikan betapa solat atau sembahyang itu satu perkara yang amat penting dalam arus pendidikan anak-anak ke arah melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah, pewaris kecemerlangan dunia dan akhirat. Kerana orang yang taat melaksanakan solat itu sentiasa berada dalam peliharaan Allah SWT. Terpelihara dari dosa, maksiat dan kemungkaran. Bahkan mereka sentiasa berada di bawah pimpinan Allah SWT kepada sifat taat, taat kepada ibu bapa, guru, juga kepada Allah SWT dan RasulNya SAW, serta sifat-sifat terpuji seperti sabar, rajin, tekun dan sebagainya.

6. ROTAN DAN PENGGUNAANYA.
Selain itu, menggunakan rotan dalam kaedah pendidikan Islam adalah satu cara psikologi yang paling berkesan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW seperti hadis yang baru kita ikuti tadi, dan disokong oleh sebuah hadis lagi yang bermaksud :"Allah SWT memberkati rumah yang di dalamnya ada digantung rotan". Rotan bukan digunakan untuk mendera anak, tetapi fungsinya yang sebenar ialah untuk tujuan pendidikan. Kalau kita memukul anak yang enggan mendirikan sembahyang sedang ia telah berumur sepuluh tahun, apatah lagi yang telah 'Aqil Baligh mestilah dengan cara dan kaedah yang betul yang benar-benar bertujuan untuk mendidik, bukan mendera atau menyeksa anak.

Perbuatan merotan yang didorong oleh niat yang ikhlas kerana menjalankan perintah Rasulallah SAW itu boleh menghalau syaitan yang bersarang dalam jiwa anak-anak kita. Tetapi merotan anak dengan sesuka hati dan tujuan mendera, hanya akan menyebabkan anak kita menjadi konco-konco syaitan yang menanamkan sifat dendam, benci, marah dan sebagainya.

Kalau kita telah berjaya membentuk anak-anak kita mengikut acuan cemerlang seperti yang kita kehendaki sesuai dengan tuntutan agama yang disarankan oleh orang yang tidak akan bercakap kecuali yang diwahyukan kepadanya iaitu Nabi Muhammad SAW. Kita tidak harus bergoyang kaki atau berpuas hati. Ini adalah kerana anak kita sudah tentu akan terjun ke medan juang yang sudah tentu situasinya lebih mencabar.

Bukan sahaja mencabar kewibawaan ilmu pengetahuannya tetapi yang amat dikhuatiri ialah gejala yang boleh memesongkan akhlaknya lebih tepat lagi imannya. Berjuang ditengah-tengah mesyarakat walau apapun arena yang diceburinya, sudah tentu bergelut dengan berbagai ragam manusia itu sendiri. Apa yang paling merbahaya ialah pengaruh persekitaran dan rakan sebaya yang rata-rata menjurus ke arah ledakan budaya negatif, yang bukan sahaja melambai-lambai bahkan kadang-kala mengheretnya secara paksa.
Oleh itu kita sebagai ibubapa tidak harus lalai dan leka dari terus memberi tumpuan perhatian terhadap segala aktiviti yang diceburi serta terus meneliti perkembangan anak kita dari masa kesemasa. Jangan biarkan mereka tergelencir, lalu hanyut dibawa arus nafsu dan syahwat yang dikemudikan oleh syaitan yang durjana. Kita mestilah terus membuat tindakan susulan yang berkesinambungan dari masa kesemasa, tanpa mengenal jemu dan bosan, pendek kata tiada istilah 'pencen' bagi ibubapa selagi mereka masih menghirup udara Tuhan.

Ibubapa hanya akan 'pencen' dan menerima ganjaran dari 'pencen' tersebut apabila telah kembali 'kerahmatullah'. Ibubapa akan menerima ganjaran yang setimpal dengan tugas serta tanggungjawab yang telah mereka laksanakan di dunia. Di dalam 'barzakh' (alam kubur) mereka akan sentiasa menerima 'dividen' dan 'bonus' yang diperolehi dari kiriman yang berterusan dari seorang anak yang 'soleh'. Ini jelas disebutkan dalam sebuah hadis yang bermaksud : "Jika mati anak Adam terputuslah segala amalannya (pahalanya) kecuali dari tiga perkara; Sedekah 'Jariah', ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya".

Untuk melihat sesuatu hasil, sudah tentu perlu kepada usaha yang berterusan yang tidak mengenal penat lelah, bahkan usaha itu dilakukan adalah semata-mata ikhlas kerana melaksanakan perintah Allah SWT. Usaha ke arah melahirkan anak yang soleh adalah tanggungjawab ibubapa sebagai amanah dari Allah SWT. Oleh kerana ganjaran yang bakal diterima di alam 'barzakh' (kubur) begitu lumayan sekali, maka usaha untuk melahirkan anak yang soleh itu sudah tentu berat, rumit dan sukar sekali sesuai dengan ganjaran yang bakal diterima.

Kesimpulannya, kebahagiaan sesebuah keluarga Islam adalah bergantung kepada peneraju keluarga berkenaan. Keluarga bahagia hanya dapat dibentuk selagi keluarga itu berpegang kepada al-quran dan as-sunnah dalam pembentukan dan pengekalan kebahagiaannya.

0 comments: